Saturday, October 23, 2010

Perwira Racing Team mengharumkan nama UPNM di peringkat Kebangsaan


10 Oktober 2010 – Kejohanan Formula Varsity UTeM 2010 anjuran Unversiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM) dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri Melaka merupakan kejohanan perlumbaan kereta formula varsity antarabangsa yang melibatkan pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi. Kejohanan ini mencabar para pelajar untuk merekabentuk, melakukan proses fabrikasi dan berlumba dengan jentera lumba satu tempat duduk di litar pelumbaan sebenar. Kejohanan FV 2010 yang diadakan pada 9 dan 10 Okt 2010 di Litar Lumba Cup-Prix, Stadium Hang Jebat, Melaka telah disertai oleh 20 pasukan dari IPTA/IPTS/Kolej Komuniti/Politeknik termasuk UPNM.

Kejohanan FV 2010 dibahagikan kepada 3 Anugerah iaitu Anugerah Rekabentuk dan Inovasi Kereta Lumba FV, Anugerah Kejohanan Perlumbaan FV 2010 dan Anugerah Pasukan Terbaik. UPNM yang diwakili oleh Kelab Kejuruteraan - Perwira Racing Team, dengan jentera lumba yang diberi nama PERWIRA One, di ketuai oleh Lt Kol Ir Khalid Abd Jalil TUDM sebagai Pengurus Pasukan, En Bahaman bin Haron (Ketua Juruteknik), Kadet PALAPES Muhd Firdaus Mahaya (Ketua Teknikal), Kadet PALAPES Datu Fasial bin Datu Liman (Pemandu) bersama 10 yang lain (pensyarah, juruteknik dan pelajar) telah berjaya memenangi tempat ke 3 Anugerah Rekabentuk dan Inovasi Kereta Lumba FV dengan membawa pulang sebuah tropi dan wang tunai RM333.00 sahaja. Dalam kategori ini Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya menduduki tempat pertama (tropi dan wang tunai RM1111.00) diikuti oleh Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin yang menduduki tempat kedua (tropi dan wang tunai
RM666.00).

Manakala Anugerah Kejohanan Perlumbaan FV 2010 dimenangi Kolej Universiti Taylor, kedua IKM Jasin dan ketiga Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM). Anugerah Pasukan terbaik di menangi Kolej Universiti manakala UPNM menduduki tempat ke 11 keseluruhan daripada 20 penyertaan.

Kejohanan selama 2 hari telah memberi banyak pengalaman kepada para peserta. Kerja-kerja bagi menyiapkan jentera lumba PERWIRA One yang mengalami kerosakan enjin selepas menjalani sesi latihan sebelah petang, memberi cabaran yang cukup tinggi kepada krew Perwira Racing Team. Bekerja tanpa henti sepanjang malam (12 jam) telah memberi pengalaman kerja berpasukan yang sukar digambarkan. Setiap ahli bersungguh-sungguh menyiapkan Perwira One untuk sedia dipandu keesokan harinya. Akhirnya Perwira One kembali berfungsi sebelum sesi perlumbaan bermula. Semua menarik nafas lega walaupun tidak berehat selama 24 jam. Malah ada yang terpaksa berulang dari Melaka ke KL pada malam tersebut untuk mendapatkan alat ganti. Terima kasih kepada juruteknik Muhamad Khalil kerana secara suka rela menawarkan enjin motosikal beliau sebagai alat ganti. Semangat beginilah yang kita mahukan dalam pasukan.
 

Diharapkan pengalaman yang diperolehi dalam kejohanan kali ini akan memberi suntikan semangat kepada para peserta dan para pelajar UPNM untuk menyertai kejohanan permotoran pada masa akan datang dalam usaha mempraktikkan ilmu dan kemahiran teknikal yang dipelajari di peringkat institusi pengajian tinggi… insyaALLAH.



No comments:

Post a Comment